PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata penetapan gaji minimum tidak hanya membabitkan satu kadar bagi semua tetapi akan ada pengecualian membabitkan sektor pekerjaan yang khusus dan kumpulan pekerja tertentu.
“Buat masa sekarang, saya hanya dapat mengesahkan bahawa gaji minimum ini merujuk kepada gaji pokok yang wajar diterima seseorang pekerja," katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, akhbar melaporkan bahawa MPGN sudah mengemukakan cadangan gaji minimum RM900 selain mengesyorkan ia dikuatkuasa Julai ini kepada Kementerian Sumber Manusia, yang dikatakan dipersetujui sebulat suara oleh wakil Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Bagaimanapun, Dr Subramaniam enggan mengulas mengenai laporan itu tetapi menegaskan bahawa akan ada pengecualian membabitkan sektor pekerjaan yang khusus dan kumpulan pekerja tertentu.
Mengenai kemasukan pembantu rumah dari Indonesia yang dijangka bermula selewat-lewatnya awal Mac ini, beliau berkata pangkalan data pusat yang diwujudkan kerajaan Indonesia mampu menjamin bekalan adalah mencukupi dan semua calon terbabit yang mendaftarkan biodata untuk rujukan majikan di sini sudah menjalani latihan wajib 200 jam.
"Sekarang, wakil pekerja asing di sini boleh berurusan secara terus dengan rakan sekerja di Indonesia, sekali gus menghapuskan peranan orang tengah yang sebelum ini menyebabkan peningkatan kos merekrut pembantu rumah dari Indonesia.
“Dari segi gaji, kita belum putuskan kerana Kerajaan Indonesia menetapkan beberapa syarat yang kita sedang bincang,' katanya.
Selain itu, mengulas laporan Kementerian Dalam Negeri akan membenarkan mangsa pemerdagangan manusia bekerja di sini, Dr Subramaniam menjelaskan ia hanya untuk tempoh terhad.
Mengulas mengenai rungutan beberapa agensi pekerja asing di sini bahawa kadar bayaran baru yang ditetapkan iaitu RM4,511 untuk membawa masuk pembantu rumah Indonesia ke Malaysia adalah terlalu rendah, Dr Subramaniam berkata itu tidak menjadi masalah.
Beliau berkata, lebih 100 daripada 400 agensi pengambilan pekerja didaftar di Malaysia bersetuju dengan bayaran yang ditetapkan dan tidak menjangkakan sebarang masalah dalam perkara itu. - sumber
Klik ads by Nuffnang | layari sapsai.fm | Gunakan Google Chrome utk paparan lengkap
0 comments:
Post a Comment